Friday, September 18, 2009

Nisa' Small Kindness @ Bandar Tun Razak

Assalamualaikum wbt ..

Dari Anas bin Malik RA katanya:

“Rasulullah SAW bersabda: “Tiada sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga ia menyukai untuk saudaranya seperti apa yang disukainya untuk dirinya sendiri.”



(masih melemparkan senyuman walaupun sudah seharian menjejak..terima kasih Allah)
Salam Ramadhan buat semua. Alhamdulillah, sebagaimana usaha-usaha Nisa' Wilayah Persekutuan meraikan golongan ibu tunggal yang kurang berkemampuan, Nisa' Bandar Tun Razak juga tidak ketinggalan menganjurkan Nisa' Small Kindness.

Program tersebut dilaksanakan pada 12 September 2009 yang lepas sebagaimana yang telah dirancangkan. Dengan tenaga Nisa' BTR bersama adik-adik Nisa' Teen Circle seramai 12 orang, kami berziarah ke 10 kediaman sekitar Bandar Tun Razak bagi mengagihkan sumbangan kepada ibu-ibu tunggal yang terpilih untuk menerima bantuan. Antara kediaman tersebut terletak di Perumahan Flat Sri Kota, Flat Sri Labuan, Flat Penyu Taman Len Seng, dan di Flat Seri Perindu. Diharapkan sumbangan yang tidak seberapa itu dapat meringankan bebanan mereka sekeluarga dalam meraikan Aidilfitri kali ini.

Ada dari kalangan ibu tunggal dan ahli keluarga mereka yang menderita sakit sehingga menyebabkan mereka tidak dapat keluar bekerja.

Ada juga yang terpaksa menanggung anak-anak yang masih kecil kerana ditinggalkan suami.

Ada anak-anak mereka yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.

Terdapat juga luahan si ibu tunggal yang kematian suami dan ada yang sudah bercerai. Hasil daripada pemerhatian guru-guru yang prihatin, ada anak-anak ibu tunggal ini yang mengalami masalah sehingga sering tidak hadir ke sekolah.

Ternyata institusi keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan masyarakat yang baik dan berilmu.


Ternyata pengalaman kami menganjurkan dan menyertai program ini amat bermakna. Kami berpeluang berkongsi sedikit sebanyak suka duka keluarga tersebut. Sebagai orang yang bernasib baik, banyak nikmat Allah yang perlu kita syukuri. Benarlah firman Allah:

"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah an-Nahl, ayat 18)

~ zila