Tuesday, January 27, 2009

Kasih Umar bin Khattab

Sebuah kisah tentang Umar bin Khattab dengan seekor burung. Pada suatu hari, Umar pergi ke Kota Madinah. Dia melihat anak kecil menggenggam seekor burung pipit dan bermain-main dengannya. Disebabkan kasih Umar pada burung itu, dia memujuk si anak kecil supaya menjualkan burung itu kepadanya. Anak kecil itu pun bersetuju. Selepas urusan jual-beli berlaku, Umar melepaskan burung itu. Selepas dia meninggal dunia, banyak para sahabat bermimpi berjumpa Umar dan bertanya :

Sahabat : Bagaimana Allah memperlakukan saudara?
Umar : Allah mengampuni aku dan membebaskan seksaanku.
Sahabat : Apakah sebabnya? Adakah disebabkan sifat dermawanmu, adilmu ataupun
zuhudmu?
Umar : ketika para manusia meletakkan aku ke dalam kubur dan menimbuni aku,
lalu pulang, tinggallah aku sendiri di dalam kubur. Datanglah dua
malaikat masuk ke dalam kuburku. Akalku menjadi hilang dan anggota
tubuhku menjadi gementar disebabkan dua malaikat masuk ke dalam kuburku.
Akalku menjadi hilang dan anggota tubuhku menjadi gementar disebabkan
datang 2 malaikat itu. Kedua-duanya memegang tanganku dan mendudukkan
aku bagi menyoalku. Kebetulan aku terdengar suara hatif (suara tanpa
rupa):

“Wahai 2 malaikat, tinggalkanlah hamba-Ku ini seorang! Tidak usah kamu soal dan tidak usah kamu takut-takutkan! Sebab aku kasih dan sayang padanya dan Aku bebaskan seksaan baginya kerana dia kasih dan sayang pada seekor burung pipit sewaktu di dunia. Oleh itu, di akhirat, Aku kasih padanya.”

Justeru, sedarlah kita ada tugas untuk menyebarkan kasih sayang di dunia. Tanpa perlu memandang perbezaan ras, agama, suku bangsa, parti politik dan sebagainya. Bahkan tidak terbatas hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang, tumbuhan dan alam sekeliling yang mengelilingi kita. Jadikanlah kata-kata ini sebagai latihan untuk menyebarkan kasih sayang. Ulanginya beberapa kali semasa bangun pagi..

“Tuhan, jadikanlah aku alat kasih-Mu.
Di mana ada benci – biarkan aku menebarkan cinta,
Di mana ada hati-hati terluka – biarkan aku menjadi penghibur,
Di mana ada keraguan – biarkan aku menebarkan keyakinan,
Di mana ada putus asa – biarkan aku menebarkan harapan,
Di mana ada kesedihan – biarkan aku berkongsi bahagia,
Di mana ada kegelapan – biarkan aku memberi cahaya”


-nunwowro, inspirasi daripada karya Sulaiman Al-Kumayi, 99Q Kecerdasan Berasaskan Asmaul-Husna, dipetik daripada Kitab Al-Mawaizh Al-Ushfuriah, karya Syeikh Muhammad bin Abu Bakr al-Ushfuri.